03 October 2009

Raya di Brunei Darussalam

Di Negara Brunei Darussalam, hari raya Aidilfitri disambut pada hari Isnin. Ini tidak bersamaan dengan Negara-negara jiran yang menyambut hari raya pada hari Ahad. Namun bagi rakyat Negara ini, ianya tetap diterima dengan penuh kesyukuran kerana masih ada peluang lagi membanyakkan dan merebut pahala dan rahmat Allah di bulan ini sehari sebelum hari raya menjelang tiba.

Meskipun Negara jiran sudah merayakan hari kemenangan, di sini, masih terasa suahsana Ramadhan dengan bersembahyang tarawih, bertadarus dan ibadah lain.

Alhamdulillah, setelah genap 30 hari, hari kemenangan itu tiba juga. Kesyukuran pada maha pencipta dipanjatkan tidak terkira kerana mengurniakan Aidilfitri sebagai nikmat dan kemenangan bagi umat yang berpuasa.

Seperti biasa, rakyat Negara ini akan berduyun-duyun ke masjid, surau dan balai-balai ibadat untuk mengerjakan sembahyang hari raya aidilfitri dengan tidak mengira bangsa, rupa paras, warna kulit dan kedudukan. Semua pergi ke masjid untuk bersembahyang. Tidak ketinggalan juga, ada yang membayar Zakat Fitrah di saat-saat akhir. Malam hari raya lagi, ada yang membayar zakat juga.

Satu keistimewaan bagi rakyat Brunei, raja dan kerabat diraja yang pengasih dan berjiwa rakyat, berkenan bersembahyang raya bersama-sama rakyat baginda tanpa mengira status kedudukan. Baginda dan kerabat juga berkenaan menerima junjung ziarah dari rakyat jelata dan beramah mesra dengan rakyat baginda.

Masjid yang menjadi tumpuan ialah Masjid Jamik Asri dan Masjid Omar Ali Saifuddin yang terletak di ibu Negara. Ini kerana, baginda akan mengunjungi masjid-masjid ini samaada masjid pertama atau pun masjid ke dua.

Selepas sembahyang raya, Pelbagai aktivitilah akan dibuat. Ada yang terus balik rumah untuk bermaaf-maafan dengan keluarga tercinta, ada yang pergi berziarah ke rumah ibu-bapa, nenek dan saudara terdekat yang rasanya harus dikunjungi dihari pertama berhari raya. Insan yang telah pergi menghadap ilahi seperti sanak saudara tidak dilupakan. Pusara mereka dikunjungi tanda ingatan yang tulus meskipun mereka telah kembali kepada Allah. Bacaan yasin dan tahlil dihadiahkan, air asah-asahan dijirus di pusara mereka dan doa dibaca memohon Allah mengampuni dosa-dosa mereka di alam sana.

Memang, mengunjungi pusara mereka yang telah kembali sudah dipratikkan semasa berada di Bulan puasa lagi. Itulah keunikan bangsa Brunei yang penuh harmoni lagi damai. Kanak-kanak yang mengunjungi pusara juga diberi sedikit cendera hati merupakan wang ringgit. Dalam keadaan ini, pemberian itu dianggap sedekah dan tidak menentu jumlahnya. Pastinya, kanak-kanak akan gembira kerna mereka dapat sedikit sedekah dari orang dewasa.

Berbalik pada kisah Aidilfitri ini, di Negara ini seperti lazimnya mengadakan rumah terbuka sejak hari pertama menyambut raya lagi. Biasanya, hari pertama mengadakan rumah terbuka adalah saudara terdekat seperti ibu-bapa, nenek dan lain-lain. Di hari berikutnya, barulah rumah terbuka semakin rancak diadakan oleh teman-teman saudara mara dan handai taulan. Panggilan untuk menghadiri rumah terbuka sana sini sampai perut pun tidak mampu lagi memuatkan makanan yang banyak. Bulan inilah peluang untuk menaikkan berat badan bagi sesiapa yang ingin menambah berat badan dan musim inilah peluang untuk mendapat penyakit jika tidak berhati-hati atau tidak peka tentang penyakit. Juadah disediakan bukan main hebat, sampai orang sepatutnya berpantang pun boleh terlupa akan pantang yang mesti diikuti.

Sebelum terlupa, rumah terbuka juga tidak ketinggalan diadakan di istana Nurul Iman yang dibuka untuk orang ramai pada hari raya ke dua, ke tiga, dan ke empat. Ketika ini sekali lagi, rakyat dan pelancung berpeluang menatap wajah raja dan kerabat diraja serta berjunjung ziarah dan mengucapkan selamat hari raya pada baginda dan kerabat diraja.

Pengunjung bukan saja mendapat kepuasan menatap wajah raja dan kerabat yang disayangi, malah mereka juga tidak balik dengan tangan kosong kerana buah tangan akan diberikan berupa makanan yang mungkin berlainan setiap tahun. Kanak-kanak mempunyai kelebihan kerana diberi sampul duit raya di samping buah tangan yang lain.

Itulah beruntungnya kami rakyat Brunei kerana mempunyai raja yang penyayang yang tidak kekok bersemuka dengan rakyat dan pelancung asing dengan tidak mengira agama dan bangsa serta status mereka. Masing-masing mengukir senyuman lebar kerana dapat beramah mesra dengan raja dan kerabat, mengucapkan selamat hari raya dan berjabat tangan dengan pemimpin yang dikasihi. Ini rasanya jarang terdapat di Negara-negara lain tapi ianya terdapat di Negara Brunei Darussalam yang indah permai ini. Setiap rakyat senang saja menemui raja kerana raja sering sahaja turun menemui rakyat jelata di majlis-majlis perayaan, hari raya, sembahyang berjamaah, melawat ke kampung-kampung, ulu-ulu, melawat pejabat kerajaan dan swasta dan sebagainya.

Akan tetapi di tahun ini, majlis rumah terbuka di istana Nurul Iman tidak diadakan. Ini kerana, untuk menjamin keselamatan semua pihak dari penularan Virus aH1N1 yang sedang melanda dunia ketika ini. Keadaan walaupun di Negara ini tidak membimbangkan, akan tetapi langkah berjaga-jaga diambil untuk mengelakkan penularan virus itu. Apa tidaknya, berkunjung ke istana bukan rakyat Brunei saja, malah pelancung asing yang sama-sama merebut peluang menatap wajah raja Brunei dan kerabat yang terkenal dengan pemimpin bijak sana, berjiwa rakyat, pengasih, penyayang dan prihatin terhadap kesejahteraan rakyat jelata.

Walau bagaimana pun, kebimbangan penularan virus aH1n1 tidak membantutkan sambutan hari raya. Ia tetap disambut meriah dan bersemangat. Mudah-mudahan, Negara Brunei Darussalam akan terus dilindungi dari segala marah bahaya, aman damai, rakyat hidup sentosa, raja kami dipanjangkan usia dan mendapat rahmat dari Allah jua. Amin!

Kemeriahan hari raya tetap terasa meskipun ianya akan sampai dipenghujungnya. Berkunjung-kunjungan ke rumah-rumah, majlis-majlis rumah terbuka dan sambutan hari raya di rumah-rumah persendirian, rumah-rumah pembesar Negara, jabatan-jabatan kerajaan dan swasta, institusi-institusi, sekolah-sekolah, maktab-maktab seluruh Negara tetap rancak diadakan.

Rakyat Negara ini terkenal dengan budaya membaca doa dalam apa-apa majlis dan ini tidak terkecuali majlis rumah terbuka sebelum hadirin dijamu dengan juadah yang enak di atas meja.

Insan istimewa juga tidak dilupakan. Sebagaimana dikenali, rakyat dan kerajaan tidak pernah camah mata (membiarkan) insan-insan ini dari turut sama merasai kemeriahan aidilfitri sepertimana insan sempurna dan bernasib baik. Anak-anak yatim, orang kurang upaya, warga tua, fakir miskin tidak pernah dilupakan dan tidak pernah luput dari mendapat perhatian rakyat dan kerajaan Negara ini untuk diraikan dan diberi bantuan sewajarnya.

Budaya ini akan terus diamalkan selagi ianya tidak melanggar syariat islam. Betapa harmoninya rakyat sini kerana masing-masing bersatu hati, membantu insan kurang berkemampuan dan saling berkerja sama menjayakan setiap majlis yang diadakan. Semoga ianya berkekalan hendaknya. Amin!

1 comment:

  1. Assalamualaikum Putree.. sekarang pun sambutan raya masih sama mcm yg ni? Mksud sy, istana dibuka, dan sambutan rakyat meriah?

    ReplyDelete